KUALA LUMPUR 13 Okt. - Seramai 1,046 belia di bawah umur 25 tahun diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun lalu akibat gagal melunaskan hutang terutama yang melibatkan sewa beli kenderaan dan pinjaman peribadi. Sumber
Pernah seorang rakan sekerja saya memberitahu bahawa dia telah pun memiliki aset. Saya bertanyakan kembali, aset apakah itu? Jawabnya, kereta.
Benarkah pernyataan itu. Adakah kereta itu merupakan aset?
Salah faham
Benar, apa-apa milikan kita yang mempunyai nilai dikira sebagai aset. Namun dalam istilah pelaburan atau pengurusan wang, takrif tersebut saya kira kurang tepat dan berbahaya dalam jangka masa yang panjang.
Dalam ekonomi aset boleh dibahagikan kepada dua ;
1-Aset nyata(tangible)
2-Aset tidak nyata (intangible)
Aset nyata adalah seperti mesin-mesin pemprosesan manakala aset tidak nyata ialah kemasyhuran, label dan idea.
Secara mudahnya, aset mengikut pengertian ahli ekonomi ialah sesuatu yang menghasilkan keuntungan di sebalik penggunaan atau pemilikannya. Contoh yang paling mudah ialah kereta. Kereta yang digunakan untuk kegunaan syarikat atau pun disewakan dikira sebagai aset. Ini kerana penggunaannya akan memberikan pulangan kepada pemiliknya.
Sebaliknya jika pemilikan tersebut tidak mendatangkan apa-apa keuntungan di sebalik penggunaannya, maka ia dikira sebagai liabiliti (bebanan). Menggunakan contoh di atas kereta untuk kegunaan peribadi bukan satu aset, malah merupakan satu bebanan ke atas pemiliknya.
Kereta bukan pelaburan
Dalam pengurusan kewangan pelaburan ialah tindakan menggunakan wang ke arah sesuatu yang menjanjikan pulangan di masa hadapan. Pelaburan dikira sebagai salah satu cara menyimpan nilai. Kerana aset menyimpan nilai maka boleh dikatakan pembelian aset merupakan satu pelaburan.
Namun begitu pembelian kereta milik peribadi tidak boleh dikira sebagai aset kerana beberapa sebab ;
1-Sebaik sahaja pemilikan bertukar tangan nilai kereta akan turun mendadak.
2-Kos selenggara yang tinggi.
3-Cukai jalan dan insurans.
4-Pemilik akan menanggung kerugian apabila dijual semula (margin harga beli-harga jual=rugi)
Kesimpulannya pemilikan tersebut hanya akan mengeluarkan duit dari kocek pemilik. Keputusan untuk membelinya perlulah ditimbang sebaik-baiknya, sama ada menggunakan motor atau kenderaan awam lebih menguntungkan. Kerana kesilapan membuat pilihan akan menyebabkan kita terperangkap dengan beban hutang yang panjang.
No comments:
Post a Comment
Cadangan dan kritikan dialu-alukan.