Wednesday, 7 March 2012

Menegur kesilapan majikan


ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ
وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Call unto the way of thy Lord with wisdom and fair exhortation, and reason with them in the better way. Lo! thy Lord is Best Aware of him who strayeth from His way, and He is best aware of those who go aright. [16:125]

Dalam perjalanan organisasi seharian, adalah mustahil untuk sebuah oraganisasi itu kosong dari sebarang kesilapan. Terkadang lahirnya dari pekerja dan di masa lainnya datang dari majikan. Ini kerana organisasi itu terdiri dari manusia yang tidak mungkin lepas dari melakukan kesalahan.

Teguran dari atas ke bawah adalah lebih mudah disampaikan dari bawah ke atas. Ini kerana majikan atau pun orang atasan mempunyai skop yang jelas untuk menegur dan membimbing pekerja bawahannya. Namun ini tidak bermakna mereka tidak akan melakukan kesilapan. Maka apabila  bila kesilapan berlaku, bagaimanakah cara terbaik untuk menegurnya.



Dilema

"Bos, ni janji hari tu nak berikan imbuhan kalau aku siapkan tugasan awal" atau "Eh, salah perancangan ni, tak ikut prosedur yang betul"  mungkin terlintas di kepala apabila terlihat majikan kita melakukan kesalahan.
Kesalahan yang dilakukan boleh jadi disengajakan atau tidak. Namun menjadi tanggungjawab kita sebagai pekerja untuk menegur dan membetulkan kesalahan meskipun ia datang dari majikan.

Jika diteruskan majikan dalam kesilapan tentunya akan memberikan kesan yang buruk dalam jangka masa yang panjang. Teguran yang baik tentunya akan dapat memperbaiki arah tuju organisasi kembali ke landasan yang sepatutnya. Sekaligus menaikkan peranan kita di mata majikan. Namun jika tersilap cara menegur, pastinya akan menyebabkan konflik yang tidak diingini antara kita dan majikan.

Seorang pendakwah bebas pernah berkata "Teguran atau nasihat yang terbaik ialah apabila ia disampaikan secara halus sehingga orang yang dinasihati itu langsung tidak merasakan seperti dia sedang dinasihati". Ini kerana seorang yang merasakan dirinya dinasihati kemungkinan akan tercalar egonya. Akhirnya walaupun benar nasihat itu, tetap dia tidak dapat menerimanya.

Cara terbaik untuk menegur

Elizabeth Garone dalam artikelnya "Bagaimana mengkritik majikan anda dengan baik" menyenaraikan  3 perkara penting dalam proses mengkritik majikan ; kesesuaian masa, tona suara,  dan motivasi.

Pertama, elakkan dari menegur ketika mana majikan sedang kesuntukan masa dan tergesa-gesa. Pilih masa di mana beliau sedang santai dan bersedia untuk di kritik. Kerana mengganggu majikan ketika mereka sedang melakukan tugas mungkin akan memberi kesan terhadap penerimaan mereka kepada nasihat yang diberi.

Kedua, tona suara dan ayat ketika menegur harus diperhatikan. Berdasarkan hubungan kita dengan majikan., tona suara boleh menyebabkan hubungan kita makin rapat atau pun kacau. Dan jangan dilupa untuk menganalisa samada majikan merupakan seorang yang boleh menerima kritikan secara terus atau pun seorang yang suka jika teguran itu datang dengan cara yang lebih sopan dan halus.

Yang terakhir menurut Garone ialah motivasi : Apakah yang menyebabkan kita mahu menegur. Adakah kerana ingin membetulkan kesalahan atau sekadar kerana tidak bersetuju dengan caranya. Kerap kali penegur merasakan yang mereka sedang "membaiki" orang lain. Hakikatnya hanya kerana mereka meletakkan satu standard yang tinggi. Dan penting untuk melihat adakan kritikan itu membina atau meruntuhkan. Sekiranya meruntukan seeloknya simpan sahaja komentar itu di dalam hati.



No comments:

Post a Comment

Cadangan dan kritikan dialu-alukan.